Sunday, May 20, 2012

Jenis-jenis Karya/kitab Hadith



      Hadith merupakan laporan atau khabar tentang perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasulullah SAW dan apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasulullah SAW. adalah sumber rujukan kedua selepas Al-quran dan menjadi penerangan kepada Al-Quran.


    Para ulama ahli hadith banyak mengumpulkan serta membukukan Hadith-hadith Rasulullah SAW untuk menjaga kemurniaan dan menjaga Isnad-isnad yang ada.


 Jenis-jenis karya hadith yang terdapat hingga hari ini:



  1. Jami’/ jawami’ 




        Penulisan Jami` bermaksud menghimpunkan hadis-hadis berkenaan dengan bidang aqidah, ahkam, riqaq, adab, tafsir, tarikh dan sirah, fitan dan manaqib.

Kitab hadis  Sahih Bukhari merupakan salah satu kitab yang digelar kitab Jami’ (atau Jawami’) . Untuk dipanggil sesebuah kitab hadis  sebagai  Jami’ sebuah kitab hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya lapan  bidang  . Di kalangan ulama ada yang menyusun hadis-hadis dalam bidang-bidang ini secara berasingan. Antaranya ialah: 

  1. Aqaid (akidah):  Contohnya: Kitab al-Tauhid karangan  Abu Bakar Ibn Abi Khuzaimah, Kitab al-Asma wa al-Sifat oleh al-Baihaqi

  1. Ahkam:  Kitab hadis  hukum yang disusun seperti  dalam kitab-kitab  fiqh seperti  Bulugh maramdan  Umdatul ahkam. 

  1. Riqaq ( raqaaiq) : dinamakan juga sebagai Ilmu al-Suluk wa al-Zuhd iaitu  menyebut tentang peringatan di hari akhirat dan  azab kubur yang akan melembutkan hati sesiapa yang mendengarnya dan menjadikannya seorang yang zuhud.  
     Contohnya:  Kitab Zuhud oleh Abdullah Ibn Mubarak, Imam Ahmad 

  1. Adab: Adab sopan, adab tidur, adab solat, adab makan dan sebagainya. Contohnya kitab al-Adab al-Mufrad oleh al-Bukhari dan Kitab Syamail oleh Tirmizi
     
  2. Tafsir: Hadis-hadis yang mentafsirkan al-Quran.
    Contohnya kitab Tafsir ibn Mardawaihibn Jarir at-TabariTafsir al-Dailami  dan Tafsir Jailani.

  1. Tarikh: Sejarah
Terbahagi kepada dua jenis:

a- Sejarah tentang kejadian alambada’ al-khalq) seperti kejadian langit dan bumi,syurga,neraka,jin,syaitan, malaikat dan sebagainya

 b- Sejarah tentang kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat seperti Sirah Ibn HisyamSirah Mulla Umar,dan sebagainya. 

  1. al-Fitan iaitu fitnah-fitnah yang muncul di akhir zaman bermula selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.  Contohnya, kitab Muin bin Hammad (guru al-Bukhari) tentang Dajjal, turunnya nabi Isa as, kemunculan Imam Mahdi, dan sebagainya. Beliau telah mencampuradukkan antara yang sahih dan tidak sahih.

  1.  Manaqib (tentang kelebihan seseorang seperti Abu Bakar,Umar,Uthman,dan Ali, tabi’in, ahlul bait, isteri-isteri Rasulullah s.a.w., Nawasib dan sebagainya) contohnya, al-Riyadh al-Nadhirah Fi Manaqib al-`Asyarah oleh Muhib al-Tabari, Zakhair al-`Uqba Fi Manaqib Zawi al-Qurba dan lain-lain.
Antara kitab-kitab hadis yang termasuk dalam kategori ini ialah Sahih al-Bukhari Jami’ al-Tirmizi, Sahih Muslim, Misykat al-Masabih, Jami` Suyfan al-Thauri, Jami` Abdul Razzaq bin Hammam al-San`ani, Jami’ al-Darimi, dan lain-lain.

Kitab Sahih Muslim pula terdapat pertikaian tentangnya. Jumhur ulama mengatakan ianya termasuk kitab Jami’ namun sebahagian yang lain menyatakan tidak kerana hadis-hadis tafsir di dalam kitabnya terlalu sedikit.

2.al-Sunan dan al-Ahkam



Ianya disusun mengikut tertib fiqh yang bermula dengan bab Taharah, sembahyang dan  seterusnya. Walaubagaimanapun di dalam sunan sendiri ianya tidak hanya memuatkan tentang hukum-hakam tetapi ada juga perkara-perkara lain yang dibincangkan.

Contoh kitab-kitab yang termasuk dalam kategori ini ialah: Sunan al-Nasai’eJami` al-Tarmizi, Sunan Ibn Majah, Sunan Abi Dawud, Sunan al-DaruqutniSunan Abi Ali bin al-Sakan dan lain-lain.

3.Masanid dan Musnad


       Penulisan Musnad bermaksud menyusun hadis-hadis mengikut nama-nama sahabat. Sama ada mengikut susunan abjad atau terdahulu memeluk Islam.  
Imam Ahmad yang menulis musnad telah mendahulukan hadis-hadis Abu Bakar daripada hadis-hadis sahabat yang lain.

Antara cara penyusunan musnad:

  1. memuatkan hadis-hadis tentang 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga, atau tentang khalifah yang empat.
  2. mengikut siapa yang lebih dahulu yang memeluk Islam.
  3. dengan melihat siapakah ahli Badar/ Hudaibiah dahulu.
  4. dengan melihat siapakah yang memeluk Islam terlebih dahulu ketika Pembukaan Mekah.
  5. dengan melihat lelaki dahulu perlu diutamakan. Tetapi dari kalangan wanita pula isteri-isteri nabi diutamakan terlebih dahulu.
  6. atau dengan melihat jenis qabilah (qabilah bani Hasyim didahulukan).

   Di dalam musnad juga taraf hadis tidak diambil kira. Ia cuma mengumpulkan sebanyak mungkin hadis-hadis yang menerangkan tentang sesuatu perkara. Namun begitu musnad yang paling sahih adalah Musnad Ahmad kerana beliau telah menyaring hadis-hadisnya. Kebanyakan ulama salaf menulis hadis-hadis dalam bentuk musnad.

4.Ma’ajim dan mu’jam


 Mu’jam pula disusun mengikut tertib huruf ejaan, atau mengikut susunan nama guru-guru mereka. Nama guru-guru mereka pula disusun mengikut ejaan nama atau kelebihan mereka.

Mu’jam juga hanya mengumpulkan hadis-hadis nabi saw tanpa melihat taraf hadis-hadisnya.

Contoh kitab-kitab mu’jam ialah Mu’jam Tabrani, Mu’jam kabir, Mu’jam as-Sayuti, dan Mu’jam as-Saghrir,Mu’jam Abi Bakr, ibn Mubarak, dan sebagainya. 

Kitab rijal yang mengumpulkan orang-orang yang tersebut dalam meriwayatkan hadis-hadis nabi s.a.w. mengikiut ejaan bersama dengan kuniyyahnya. Ini semua adalah untuk memastikan kesahihan sesebuah hadis. Golongan. Orientalis sendiri mengakui kehebatan ilmu hadis.

  5.Masyikhat


Di dalam penulisan masyikhat, hadis-hadis dikumpul dari seorang syeikh sama ada dia mengumpulkan sendiri hadis tersebut atau orang lain yang mengumpulkannya. Contohnya, Masyikhat Ibn al-Bukhari, yang dibuat tambahan oleh Hafiz al-Mizzi, Masyikhah Ibn Syadam al-Kubra dan al-Sughra, dan dibuat tambahan oleh al-`Iraqi.

Ali bin Anjab al-Baghdadi mempunyai 20 jilid kitab masyikhat.

Antara kitab Masyikhat yang disebutkan juga ma’ajim seperti Mu’jam al-Sayuti, Abu Bakar Ibn Mubarak. Kitab yang ada sanad pula seperti Musnad al-Firdaus oleh al-Dailami,

Istilah lain bagi mu’jam dengan makna kamus dan bukannya bermaksud penulisan hadis. Ada juga yang menyebut mu’jam itu sebagai kamus geografi yang menyebut tentang geografi sesuatu tempat sepertiMu`jam al-Buldan oleh Yaqut al-Hamawi. Ada juga yang mengumpulkan tentang biografi seseorang tokoh di dalam kitab mu’jamnya seperti al-Mu`jam fi  Athar Muluk al-`Ajam.

(Bersambung)......

SUMBER: Darul kautsar

No comments:

Post a Comment